Masih panas hati dengan isu kenaikan harga minyak? Nak tak nak, anda tetap kena teruskan hidup tetapi dengan cara jimat tersendiri. Ya, membesarkan keluarga secara bajet perkara yang sukar. Mungkin ada yang tahap nak beranak ramai pun takut! Sebenarnya ini memerlukan daya kreatif dan strategi bagi memastikan kewangan teratur. Berikut adalah cara yang boleh dilakukan oleh suri rumah bagi menjimatkan wang.
1. Satu lauk dan bawa bekal
Masak satu lauk dan satu sayur. Tak perlu bazirkan lauk dengan sediakan menu banyak. Pastikan sediakan bekal untuk anak-anak dan suami juga.
2. Jangan terpedaya jualan murah
Memang lebih jimat kalau beli barang ketika jualan murah tapi anda kena fikir balik adakah barang yang dikatakan murah itu akan digunakan dalam masa terdekat atau sebaliknya. Kemudian kena semak tarikh luputnya. Risau juga, beli beria dan akhirnya masuk tong sampah.
3. Senarai barang yang penting
Tulis dan senaraikan barang yang mana perlu sebelum keluar membeli. Pastikan betul-betul keperluan dan bukan kehendak. Jangan sampai kedai, anda main tarik barang lain pula!
4. Bajet stok untuk sebulan
Kalau beli barang kedai runcit, harganya lain. Ada peluang, sila pergi beli barang dapur ketika jualan murah. Semak barang dapur yang habis dan beli untuk tempoh sebulan. Contoh beli 3 PERCUMA 1. Itu kan dah jimat!
5. Elak beli barang ikut jenama
Ini memang ramai yang gagal sebab kebanyakan ramai yang suka beli barang ikut brand. Konon nak kualiti tapi sebenarnya anda kena bijak memilih barang. Kadang ada barang kualitinya OK cuma mahal sebab jenama. Cuba ubah gaya hidup anda...
6. Limitkan beli barang basah
Nak beli barang basah kena pastikan anda betul-betul memasak. Sebab kalau beli dan sekadar simpan dalam peti, akhirnya rosak dan masuk kategori membazir. Jadi, pastikan anda betul-betul ada mood nak memasak, baru beli.
7. Periksa semula troli barang yang dibeli
Sebelum anda membayar barang yang dibeli, periksa semua barang yang ada. Letak semula barang itu jika tidak perlu.
8. Tabung kecemasan bulanan
Setiap bulan anda kena paksa diri bayar 'tol' sebagai simpanan untuk digunakan waktu-waktu kecemasan. Keluarkan sejumlah wang untuk dimasukkan dalam tabung, dan lebih elok tempat yang tak boleh dibuka langsung.
9. Pergi beli barang tanpa bawa anak
Jangan bawa anak tiap kali keluar beli barang dapur. Ini boleh elak dari beli barang yang tak penting. Ajar anak jimat dari awal, dan elakkan bawa anak ke kedai mainan. Lebih bagus positifkan anak dengan didik anak-anak menabung untuk dia ada simpanan sendiri.
10. Asingkan duit dapur dari awal
Cara ini cukup membantu kalau anda bawa duit secukupnya dari awal. Contoh anda tarik RM200 untuk beli barang dapur, kalau tak bawa duit lebih, confirm anda hanya ikut senarai yang ditulis.
Jangan mengeluh sebab anda mampu bertindak lebih bijak untuk teruskan kehidupan. Apa yang penting anda 'bulatkan hati' dalam perbelanjaan harian demi masa depan yang lebih baik bersama keluarga. Selamat mencuba!
Sumber daripada pengarang : Nadia Mingguan Wanita
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...