Kasih
sayang mempunyai peranan yang sangat berguna dalam menangani stres.
Hubungan kasih sayang boleh membantu mengurangkan stres dan meningkatkan
kesihatan anda. Kasih sayang memberi kesan yang hebat kepada jiwa anda,
dan ia juga adalah penawar stres semula jadi. Dalam hubungan yang
sihat, kuasa kasih sayang adalah cukup kuat untuk membuat hati anda
senang, jiwa anda tenang dan badan anda sihat.
Penurunan Stres: Bagaimana Kasih Sayang Membantu
Berkongsi kegembiraan dan cabaran hidup adalah salah satu manfaat utama yang diperolehi daripada sebuah hubungan.
Apabila anda mempunyai perkahwinan atau hubungan yang
baik, anda mempunyai seseorang untuk berkongsi kerisauan anda,
seseorang untuk meluahkan masalah anda, dan juga untuk bersama anda
menikmati masa yang terluang. Hubungan boleh melegakan stres dengan
tidak membuat anda memikul setiap beban keseorangan.
Anda juga mempunyai seseorang untuk berkongsi impian
masa depan. Seseorang yang akan memberi anda sokongan dan bersama-sama
melalui liku-liku kehidupan. Beberapa kajian mendapati bahawa mereka
yang mempunyai perkahwinan yang sihat hidup lebih lama dan mempunyai
lebih sedikit masalah kesihatan berbanding mereka yang mempunyai masalah
dalam perkahwinan atau tidak mempunyai hubungan. Itulah kuasa kasih
sayang. Tambah lagi, mereka yang mempunyai perkahwinan bahagia bukan
sahaja mendapat manfaat menghilangkan stres, mereka juga jarang murung.
Pasangan yang penyayang akan berkongsi menanggung
masalah yang dihadapi, memberi sokongan, mendengar keluhan dan memberi
nasihat apabila diperlukan. Dan apabila anda ingin mengingati masa
bahagia dan senang anda, pasangan yang penyayang dapat membantu anda
mengingatinya.
Memperbaiki Hubungan
Jika anda mempunyai hubungan suami isteri, rakan,
atau dengan yang tersayang, yang sedikit bergolak, usahakan untuk
menyelesaikannya. Hubungan yang tidak sihat merupakan salah satu punca
stres yang boleh dijauhkan, dan memperbaikinya boleh mengurangkan stres
dan meningkatkan kesihatan anda. Berusaha untuk memperbaiki hubungan
akan membuat anda merasa gembira.
Memulakannya mungkin terasa sukar, tetapi usahakan
untuk mendekati yang tersayang. Lihat sama ada terdapat masalah atau isu
yang merenggangkan hubungan, yang perlu ditangani untuk meneruskan
hubungan bahagia. Atau, jika jarak di antara anda makin bertambah,
usahakan untuk membina semula hubungan itu.
Permulaan Ke Arah Hubungan Baik
Tidak semua orang selesa untuk menunjukkan kasih
sayang atau kemesraan – mungkin ia adalah personaliti atau pengaruh
keluarga ketika mereka membesar. Jika menunjukkan kasih sayang atau
kemesraan adalah sukar untuk anda. Demi untuk memperkukuhkan hubungan,
pertimbangkan untuk mula meluahkan perasaan anda kepada mereka yang anda
sayangi.
Menunjukkan kasih sayang sebenarnya boleh menjadi
kebiasaan, dan kita boleh belajar bagaimana untuk mengubah kebiasaan
atau tabiat. Mulakan dengan langkah kecil, dekati secara fizikal seperti
memeluk atau dengan sentuhan lembut, atau dengan kata-kata mesra. Dari
situ, anda perlahan-lahan boleh membina hubungan dan kasih sayang anda.
Ucapkan tahniah kepada diri anda setiap kali anda keluar dari zon selesa
anda, dan perhatikan kesan yang berlaku kepada pasangan anda.
Belajar Untuk Menunjukkan Kasih Sayang
Fikirkan apa jenis kasih sayang atau kemesraan yang
anda ingini di dalam hubungan anda. Gambarkan kemesraan tersebut dan
bagaimana anda hendak menunjukkannya. Berlatih melakukannya di dalam
minda anda untuk membiasakan diri menjadi lebih penyayang. Baca buku
tentang cara untuk menunjukkan kasih sayang, atau cari contoh dalam
filem atau rancangan televisyen.
Fikirkan tentang kemesraan dan berapa banyak anda
mengambil berat tentang orang yang anda mahu tunjukkan kasih sayang.
Fikirkan tentang perkara tersebut sepanjang hari.
Kehidupan ini mempunyai banyak penyebab stres dan
juga cabaran, dan anda memerlukan seseorang untuk menyokong anda
menyusuri masa-masa sukar – sama ada pasangan, ahli keluarga, kawan baik
atau rakan kongsi. Dan ia sama penting untuk mempunyai seseorang untuk
berkongsi kegembiraan dan sesuatu yang ingin disambut atau dirayakan.
Luangkan masa untuk memberi tumpuan kepada hubungan dalam hidup anda,
dan meraih manfaatnya. Penawar stres yang berkesan akan diperolehi hanya
dengan mengetahui bahawa anda mempunyai kasih sayang, sokongan dan
bantuan daripada orang yang dikasihi.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...