MAKLUMAN PENTING!! Kepada ahli perpustakaan, anda DIWAJIBKAN membawa Kad Pengenal Pegawai untuk membuat pinjaman buku. Sekiranya tiada, sila buat kad tersebut di Bahagian Operasi Dan Kebombaan Negeri masing-masing. Sila maklum pada kami sekiranya anda telah bertukar ke mana-mana tempat pertukaran bagi pengemaskinian data ahli anda. Kerjasama anda amat dihargai. Terima kasih.

Friday, March 22, 2013

Anak Meragam Ke Sekolah

sekolah
Siapa yang tidak pening kepala apabila si kecil buat perangai pagi-pagi buta. Sudahlah liat hendak bangun pagi, menangis pula tidak mahu ke sekolah. Papa dan mama pula perlu bergegas ke pejabat kerana ada mesyuarat penting. Diharap panduan berikut dapat membantu mengatasi masalah tersebut.

Mungkin kalau di awal persekolahan, situasi kanak-kanak prasekolah meragam enggan ke sekolah adalah perkara normal dialami semua ibu bapa. Tetapi kalau sudah masuk usia berminggu bahkan berbulan persekolahan, anak-anak masih ada yang meragam, siasatan perlu dilakukan.
Sebelum membuat penyelesaian, kita perlu mencari punca terjadinya masalah tersebut. Apa masalah si kecil sehingga tidak mahu ke sekolah. Sedangkan sebelum ini dia yang beria-ria tidak sabar melangkah ke alam persekolahan.
Sebenarnya kita kena faham mengapa anak tidak mahu ke sekolah. Anak-anak juga sama seperti kita. Cuba letakkan diri kita di satu tempat asing tanpa kita kenali sesiapa di sana, tentu mati kutu kan? Begitulah juga anak-anak. Rasa terancam, tidak selamat dan tidak mahu berpisah dengan ibu bapa adalah perkara biasa.
Antara punca biasa yang dialami anak-anak sehingga menyebabkan dia enggan ke sekolah adalah berikut:
·         Cikgu yang terlalu garang dan bengis.
·         Kawan-kawan yang suka ambil kesempatan atau membuli.
·         Persekitaran sekolah yang tidak selesa.
·         Anak ketinggalan dalam pelajaran.
·         Anak tidak dapat apa yang dia kehendaki.
·         Anak tidak mempunyai kawan.
Sebaiknya ibu bapa sebagai orang paling rapat dengan anak hendaklah bijak menangani masalah ini.  Usah terlalu lembut hati mengikut sahaja kerenah mereka, ketegasan dalam kelembutan perlu ada. Bertindak bijak tangani masalah adalah lebih baik daripada menjadikan ia masalah dan terus menganggap ia masalah.
Panduan tangani anak enggan ke sekolah:
1.      Pujuk anak dan cungkil apa masalah sebenarnya. Selidik perkara ini ketika moodnya baik.  Dalam masa yang sama cuba nasihat dan bercakap dalam nada lembut dengannya tentang kebaikan pergi ke sekolah.
2.      Kenalkan anak dengan guru. Wujudkan rasa selesa dan selamat dengan guru mereka. Jika ada masalah berjumpa dan berbincang dengan guru tentang masalah anak di sekolah. Mungkin boleh meminta bantuan guru untuk memujuknya (menerusi telefon) dengan mengatakan “Cikgu rindulah dengan Aifa, datanglah sekolah. Macam-macam boleh belajar.”
3.      Kenalkan dia dengan kawan yang boleh dia bermain dan bergantung harap. Jika ada kawan, mereka akan rasa selamat berada di tempat yang begitu asing kepada mereka.
4.      Pemilihan sekolah dengan persekitaran menarik, ceria dan guru yang bagus amat penting sebenarnya. Kadang kala anak-anak ni bukan sengaja tidak mahu ke sekolah tetapi faktor murid lain yang mungkin pembuli, nakal, mengusik, kelas yang hambar, cikgu yang garang dan menakutkan kanak-kanak membuatkan mereka kecut perut dan berasa tidak selamat berada di sekolah.
5.      Ceriakan waktu anak bersiap hendak ke sekolah. Ibu bapa janganlah cepat hilang sabar apabila anak kecil sukar bangun pagi. Bersabar dan jangan terus memarahinya kerana ini akan membuatkan mereka sedih dan tidak seronok untuk ke sekolah.
6.      Tidak perlu kita marah atau pukul anak-anak yang masih mentah ini. Kalau perlu dijanjikan hadiah supaya mereka ke sekolah, pujuklah dengan cara itu dan hadiahnya adalah benda yang bermanfaat seperti buku cerita atau buku lukisan. Bukan permainan atau gula-gula. Mereka adalah anak kecil yang suka menerima ganjaran.
7.      Masuk ke bilik anak, peluk dan ciumnya serta bisikkan kata-kata harapan bahawa papa dan mama mahu dia ke sekolah dengan riang dan ceria tanpa tangisan lagi.
8.      Bacakan Surah Taha ayat 1-5 dan hembus di ubun-ubunnya.
9.      Bacakan ayat Nabi Daud a.s yang bermaksud “Ya Allah, lembutkanlah hatinya sebagaimana Engkau melembutkan Daud (akan) besi"
10.  Lakukan solat hajat dan mohonlah agar ALLAH SWT permudahkan urusan seharian kita seperti yang diharapkan. Sesungguhnya doa itu senjata seorang mukmin.
Semoga usaha yang dilakukan mampu menangani masalah anak-anak kecil enggan atau meragam tatkala hendak ke sekolah.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen / cadangan anda...


Unit Pusat Sumber Dan Dokumentasi, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia