MAKLUMAN PENTING!! Sila maklum pada kami sekiranya anda telah bertukar ke mana-mana tempat pertukaran bagi pengemaskinian data ahli anda. Kerjasama anda amat dihargai. Terima kasih.

JUDUL BUKU TERKINI

Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural Natural

Thursday, January 5, 2012

Fakta Menarik Yang Mungkin Anda Tidak Tahu


METEOR
Meteor yang jatuh di Hoba West, Afrika, pada tahun 1920 merupakan yang terbesar dan paling berat pernah gugur ke bumi. Ia berukuran 2.7 meter panjang dan 2.4 meter lebar dengan jumlah berat 60 tan.

 
MOTOR ELEKTRIK
Motor elektrik terkecil di dunia berukuran 0.04sm iaitu lebih kecil daripada kepala jarum peniti, dibina oleh William MCLellan dari Amerika Syarikat. Ia mengandungi 13 bahagian dan pergerakan motor itu hanya boleh dilihat menerusi mikroskop.
  

UKURAN RED KANGAROO
Ukuran red kangaroo ketika dilahirkan ialah dua sentimeter, tetapi ia membesar sehingga 2.6 meter panjang. Haiwan itu boleh melompat sejauh lebih 12 meter dalam satu lompatan dan berupaya bergerak dengan kelajuan 48 km sejam.

 
LOGAM OSMIUM
Logam osmium adalah bahan yang paling tumpat di dunia iaitu enam kali lebih tumpat daripada emas. Jongkong osmium setebal saiz wang kertas seringgit adalah seberat 2.4 kilogram.

 
KERETA API PENUMPANG
Kereta api penumpang terpanjang di dunia berukuran 1,733 meter panjang dicatatkan di Belgium pada tahun 1991. Ia mengandungi 70 buah gerabak, sebuah lokomotif elektrik
dan seberat 2,786 tan.

 
KELAJUAN MAKSIMUM
Kelajuan maksimum 39,897km sejam yang dicapai oleh Apollo 10 merupakan yang terpantas pernah dicatat manusia. Kelajuan itu 15.4 kali ganda Tupolev Tu-14, pesawat penumpang paling laju di dunia.


TELEKOM MALAYSIA
Telekom Malaysia merupakan pengendali utama telekomunikasi di negara ini, mempunyai sebanyak 29,700 kakitangan di seluruh negara. Ia membekalkan kemudahan telefon kepada 2.7 juta penduduk Malaysia; nisbah 15 buah telefon bagi setiap 100 penduduk.
 
LADANG KUPU-KUPU
Ladang kupu-kupu Pulau Pinang yang ditubuhkan pada tahun 1986, mengandungi 4,000 ekor kupu-kupu Malaysia terdiri daripada lebih 120 spesies.
 
KESESAKAN LALU LINTAS
Kesesakan lalu lintas paling buruk direkodkan pada 12 April 1990 apabila 1.5 juta kenderaan berbaris panjang menyeberang sempadan Jerman Timur dan Jerman Barat.
 
HUTAN HUJAN TROPIKA
Hutan hujan tropika Malaysia berusia 130 juta tahun dan dipercayai sebagai hutan yang paling tua di dunia. Terdapat sehingga 180 jenis pokok dalam satu hektar hutan tersebut.
 
GUA GOMANTUNG
Gua Gomantung di Sabah merupakan tempat kediaman lebih sejuta burung layang-layang. Sarang burung itu dieksport ke Hong Kong dan Singapura dengan harga RM8,750 sekilogram untuk dijadikan sup.
 
PELABUHAN
Pelabuhan Barat di Pulau Indah berharga RM1.2 bilion mampu mengendalikan 12.1 juta tan kargo setahun. Jumlah sebanyak itu memerlukan masa 10 hingga 12 tahun jika dikendalikan oleh pelabuhan Pasir Gudang dan Pulau Pinang.
 
SUNGAI RAJANG
Sungai Rajang di Sarawak merupakan sungai yang terpanjang di Malaysia, berukuran 563 kilometer. Ukuran tersebut boleh menghubungkan Muar dengan Butterworth.
 
MENARA KUALA LUMPUR
Menara Kuala Lumpur merupakan yang tertinggi di Asia dan ketiga di dunia berharga RM250 juta. Ia berukuran 421 meter tinggi, seberat 100,000 tan, menggunakan
45,000 meter padu konkrit, 5,300 tan keluli tetuli tetulang dan 1,300 tan keluli struktur.
 
KUIL BATU CAVES
Kuil Batu Caves mengandungi sebanyak 364 mata tangga iaitu dari paras bawah hingga ke dalam gua. Jumlah itu akan menjadi sepanjang kira-kira 170 meter jika mata tangga itu diluruskan menjadi satu garisan.
 
LAPANGAN TERBANG
Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang yang dijangka beroperasi pada tahun 1998 berupaya mengendali 45 juta penumpang dan juga mampu mengendali sejuta tan kargo setahun.
 
MENARA PETRONAS
Menara kembar Petronas KLCC (Kuala Lumpur City Centre) yang setinggi 88 tingkat akan menjadi bangunan tertinggi di dunia, berukuran 450 meter tinggi. Ketinggian ini tiga kali ganda Kompleks Dayabumi.
 
JAMBATAN
Jambatan Pulau Pinang (13.8km) merupakan yang terpanjang di Asia dan menduduki tempat ketujuh di dunia, dibuka pada bulan Ogos 1985.
 
KOMPLEKS RENANG
Kompleks renang Dewan Bandaraya Ipoh, Perak merupakan yang terbesar dan paling moden di Asia Tenggara. Kompleks itu juga adalah kolam renang bergelombang pertama di Malaysia.
 
MINYAK
Malaysia adalah pengeksport minyak utama di Asia Tenggara dan merupakan negara ke-21 yang mempunyai simpanan minyak terbanyak di dunia, mengeluarkan 610,000 tong minyak sehari.
 
PROTON
Dalam tempoh sepuluh tahun, Proton menguasai 74 peratus pasaran domestik iaitu kira-kira 500,000 unit di jalan raya Malaysia dan 85,000 unit lagi dieksport ke 18 buah negara temasuk United Kingdom, New Zealand dan Australia.
 
MINYAK SAWIT
Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit nombor satu dunia, mengeluarkan sebanyak 51 peratus daripada jumlah pengeluaran dunia iaitu sebanyak 7.2 juta tan pada tahun 1994.

 
POKOK GETAH
Pokok getah tertua Malaysia yang ditanam 119 tahun dahulu masih dapat dilihat di Kuala Kangsar, daerah pertama menanam pokok getah di negara ini.
 
BANK
Malaysia memiliki 37 buah bank komersil dengan rangkaian 1,246 cawangan di seluruh negara dan Maybank sebagai bank komersil terbesar; mempunyai 399 cawangan.
 

Continue Reading
No comments
Share:

Monday, January 2, 2012

Kesusasteraan Melayu Di Hujung Tanduk?

Kedudukan Kesusasteraan Melayu sebagai suatu subjek yang terumbang-ambing dalam sistem pendidikan sekolah negara tidak boleh dinafikan dan justeru itu tidak menghairankan apabila pelajar aliran sastera ditawarkan hanya kepada pelajar yang lemah pencapaian mereka.

" Kedudukan pelajar yang sememangnya tidak berminat dalam pelajaran memburukkan pencapaian mereka, lalu langkah Kementerian Pelajaran memperkenalkan Komponan Sastera Dalam Bahasa Melayu (KOMSAS) tidak memberi hasil seperti diharapkan.
Saya juga berharap sukatan mata pelajaran yang baru diperkenalkan seperti mewujudkan kerja kursus dengan mewajibkan pelajar menghasilkan sajak, cerpen, drama atau novel, sekali gus membantu mengasah bakat mereka dalam bidang kepengarangan. - Mohd Azlee Lee Abdullah @ Lee Cheong Beng, Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Peramu Jaya, Pekan "
 
Senario ini seolah-olah tiada penghujungnya, apatah lagi pelajar masa kini disogokkan dengan kepentingan Sains sebagai suatu subjek yang mempunyai nilai ekonomi tinggi, sehingga bukan saja Kesusasteraan Melayu terpinggir, malahan Bahasa Melayu turut tidak dipedulikan kerana penekanan berlebihan kepada Bahasa Inggeris.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Peramu Jaya, Pekan, Azlee @ Lee Cheong Beng yang pernah dinobatkan sebagai Guru Cemerlang Bahasa Melayu, melihat subjek Kesusasteraan Melayu di sekolah bukan saja berada pada tahap membimbangkan, malahan sudah hampir pupus.

“Lebih menyedihkan bila ada sesetengah pengetua dari aliran sastera juga tidak berminat menawarkan subjek ini kepada pelajar mereka. Tanggapan masyarakat begitu mempengaruhi pentadbir sekolah dalam menawarkan Kesusasteraan Melayu kepada pelajar.

“Kesusasteraan Melayu dilabel sebagai tiada nilai komersial dan tiada jaminan masa depan kepada pelajar. Sekolah yang menawarkan ini Kesusasteraan Melayu pula mengkhususkan kepada pelajar dari kelas yang lemah dan tidak berminat untuk belajar semua subjek termasuk sastera,” katanya kepada Sastera ketika diminta mengulas mengenai , baru-baru ini.
Azlee atau nama sebenarnya Lee Cheong Beng yang berpengalaman mengajar subjek Kesusasteraan Melayu selama 10 tahun berharap perubahan dalam sistem pendidikan perlu dilakukan segera demi mengelakkan subjek yang dapat membantu melahirkan insan bersahsiah daripada lupus.

Beliau yakin bahawa pemilihan guru yang berkebolehan untuk pengajaran mata pelajaran penting bagi memancing minat pelajar untuk bersungguh-sungguh memahami apa yang diajarkan kepada mereka.

“Pencapaian pelajar antaranya bergantung kepada guru yang mendidik mereka. Justeru, pemilihan guru mestilah dalam kalangan mereka yang arif mengenai sastera, berminat dan berupaya memahaminya apa yang diajarkan.

“Saya juga berharap sukatan mata pelajaran yang baru diperkenalkan seperti mewujudkan kerja kursus dengan mewajibkan pelajar menghasilkan sajak, cerpen, drama atau novel, sekali gus membantu mengasah bakat mereka dalam bidang kepengarangan ,” ujarnya.

Azlee turut mendedahkan kepada Sastera, di Pekan, Pahang, subjek Kesusasteraan Melayu langsung tidak ditawarkan sebagai subjek elektif walau di sebuah sekolah sekalipun dan hanya menimba sedikit ilmu mengenai dunia kesusasteraan menerusi KOMSAS.

Berhubung langkah Kementerian Pelajaran membekalkan beberapa naskhah buku tambahan mengenai teknik penulisan karya kreatif yang diletakkan di perpustakaan, selain teks KOMSAS bagi membantu pelajar menghasilkan kreatif, Azlee tidak melihat pendekatan terbabit banyak membantu.

“Karya tambahan sebenarnya tidak banyak membantu pelajar untuk meminati sastera dan menguasai sastera, sebaliknya teknik mengajar yang pelbagai dan cara guru memikat minat pelajar perlu diperbetulkan terlebih dulu.

“Selain itu, penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran amat membantu. Banyakkan kegiatan sastera seperti pertandingan deklamasi puisi, bersyair dan pementasan drama bagi memupuk minat pelajar terhadap sastera,” jelasnya.

Guru SMK Adela, Kota Tinggi, Ismail Mohamad Zain yang berpengalaman mengajar Bahasa Melayu lebih 24 tahun, menyokong penuh sekiranya KPM berhasrat mengeluarkan buku tambahan kerana ia juga sekali gus turut memberi manfaat kepada guru.

“Saya turut menghantar buku cadangan karya sendiri, KOMSAS Peta Visual untuk Tingkatan 1, 2, 4 dan 5 berbentuk peta minda. Buku ini memuatkan kajian karya sastera bermutu berserta contoh untuk rujukan pelajar dan diselitkan ilustrasi serta komik berwarna-warni untuk menarik minat mereka,” katanya.

Pelajar aliran sastera yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nurul Wafa Aula Alias, 17, berkata teks KOMSAS banyak membantu penulis muda mengenai kaedah mengarang yang betul dan teratur.

“Kebanyakan pelajar negatif terhadap Kesusasteraan Melayu dan terpengaruh dengan tanggapan ia sukar difahami dan terlalu serius.

“Mengajak pelajar menghayati dan mendalami teks KOMSAS terlebih dulu adalah lebih baik berbanding menyediakan buku tambahan yang mungkin menambah rasa bosan pelajar untuk mendalami sastera,” ujarnya.


Sumber Daripada : 
Latifah Arifin
(Berita Harian)

Continue Reading
No comments
Share:

Perutusan Tahun Baru 2012 Dari Perdana Menteri Malaysia


Alhamdullilah syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita dapat menyaksikan tertutupnya tirai tahun 2011 dan menyinsingnya fajar baru 2012. Sesungguhnya 2011 merupakan tahun yang amat monumental kepada negara kerana ia telah menyaksikan lengkapnya “roll out” inisiatif dasar kerajaan di bawah payung Dasar Transformasi Nasional (2011-2020) dan dengan itu juga pengenalan siri keempat Rangka Rancangan Jangka Panjang Negara (RRJP) semenjak ia mula diperkenalkan pada tahun 1971. DTN merupakan komponen terakhir dalam usaha merealisasikan Wawasan Kebangsaan untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.


DTN mempunyai permulaannya dengan pelancaran Program Transformasi Kerajaan (GTP) diikuti Program Transformasi Ekonomi (ETP) serta pelancaran Model Baru Ekonomi (NEM), Program Transformasi Politik (PTP)  dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP). Kesemua inisiatif dasar ini bukanlah sekadar pengumuman kosong mahupun tidak berpijak pada bumi yang nyata kerana jika dilaksanakan dengan betul dan mengikut jadual akan menyaksikan kemunculan sebuah Malaysia Baru. Sebuah negara yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi dengan kemakmuran yang dikongsi setiap strata dan segmen rakyat tetapi juga sebuah watan dengan tradisi demokrasi serta perbezaan pendapat yang membina dan membugar.


Kerajaan tetap komited dengan program islah dan pembaharuan dalam semua bidang dan aspek kehidupan bernegara kerana inilah kehendak dan aspirasi rakyat yang mahukan kehidupan yang lebih baik untuk mereka dan anak-anak mereka. Inilah usaha demi Generasi masa depan Malaysia yang berhak membesar dalam suasana harapan bukannya kemuraman. Kita tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang mahu menggagalkan matlamat mulia ini.


Di bawah PTP bagi mengimbangkan Keselamatan Kebangsaan dan Kebebasan Individu seperti yang terjamin dalam Perlembagaan Negara misalnya kita telah memansuhkan tiga proklamasi darurat yang  berkuatkuasa semenjak lebih empat dekad yang lalu kerana kerajaan percaya kita tidak mampu membina sebuah Malaysia yang baru jika kita masih teperangkap dengan bebanan sejarah lampau. Dengan semangat yang sama kerajaan juga telah mengumumkan pemansuhan beberapa Akta yang  berkaitan Keselamatan dan Ketenteraman Awam seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri dan  Seksyen 27 Akta Polis yang telah digantikan dengan Akta Perhimpunan Aman 2011 yang menjamin kebebasan individu untuk berhimpun secara aman seperti yang diperuntukkan undang-undang tertinggi negara Perlembagaan Persekutuan. Usaha ini akan diteruskan dalam sessi Parlimen seterusnya pada tahun 2012 bagi memansuhkan ISA dan membentang rang undang-undang baru yang akan menggantikannya serta meminda AUKU serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.


Melalui bajet rakyat 2012 pula  yang baru diluluskan Parlimen kerajaan hari ini juga telah meneruskan tradisi negara berkebajikan yang telah menjadi amalan kerajaan yang memerintah semenjak merdeka lagi. Kita tidak pernah melupakan nasib warga luar bandar mahupun warga bandar, golongan berpendapatan rendah mahupun kelas pertengahan serta mereka yang berpendapatan tinggi, kita akan sentiasa membela untung nasib seluruh rakyat Malaysia dan akan terus prihatin terhadap denyut nadi dan aspirasi mereka.


Marilah kita bersama-sama kerajaan dan rakyat merealisasikan masa depan yang lebih baik untuk bumi tercinta ini. Ia bukannya sebuah mimpi malahan ia dalam rangkulan kita jika kita sanggup merancang dengan teliti dan bekerja keras bagi mencapainya. Tidak ada yang mustahil jika kita mampu  mengimpikannya, sesungguhnya hari-hari yang terbaik kita masih berada di hadapan kita bukannya sudah tinggal dalam lipatan sejarah. Selamat tahun Baru 2012, Dirgahayu Malaysia.

Sumber Dari :
www.1malaysia.com.my

Continue Reading
No comments
Share:

Perpustakaan, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia