Thursday, October 2, 2014

Pentingnya Kemahiran Komunikasi Dalam Kerjaya



Bahasa tubuh
Jangan menjauhkan diri dari orang yang sedang bercakap dengan anda. Pastikan anda mengekalkan postur yang santai dan tidak bongkok. Anda harus tahu bahawa melalui lenggok badan, orang dapat mengetahui sama ada anda selesa, tenang ataupun sedang bermasalah. Bahasa tubuh juga boleh menunjukkan anda menyukai orang itu atau sebaliknya. Jadi anda perlu berwaspada dengan bahasa tubuh.  Tunjukkan bahasa tubuh yang positif agar anda disenangi oleh orang lain.

Membuat hubungan mata
Hubungan mata sangat penting kerana ia memberi keyakinan kepada orang yang sedang bercakap dengan anda. Oleh itu, pandang wajah orang yang sedang berbicara dengan anda. Sangat penting untuk anda membiasakan diri dengan perkara ini kerana tanpa hubungan mata, mereka boleh berpendapat bahawa anda kurang memberi perhatian kepada mereka.

Pertuturan dan perhatian
Apabila bertutur perlulah jelas dan ringkas. Bercakap kepada perkara penting secara langsung agar tidak membuang masa. Pastikan anda bertanya sama ada mereka faham dan jangan mengharapkan seseorang untuk hanya tahu apa yang anda katakan. Di samping itu, salah satu aspek penting dalam komunikasi lisan adalah keupayaan untuk mengamalkan pendengar aktif. Ini bukan bermakna anda aktif menunggu untuk bercakap, sebaliknya sentiasa membuat nota mental terhadap perkara utama apabila seseorang bercakap dengan anda. 

Apabila anda diberi peluang untuk bercakap, anda mendapat tindak balas kepada isu yang paling penting yang sedang diperbincangkan. Ketika orang lain bercakap, cuba untuk berfikir tentang perkataan yang tepat terhadap topik yang perkatakan. Jika anda mengamalkan ini, anda akan memahami dan mengandungi 75% ebih maklumat yang anda dengar.

Bercakap dengan yakin
Orang yang bijak bercakap selalunya lebih maju dalam kerjaya mereka. Mereka kelihatan berkeyakinan dan lebih ke hadapan berbanding dengan orang yang pendiam tetapi boleh membuat kerja. Justeru, untuk maju dalam kerjaya, anda perlu bijak bercakap, berhujah dan menyuarakan pendapat. Sebagai seorang ketua pula, anda perlu yakin kala melahirkan idea-idea baru kepada kakitangan bawahan. Jika idea anda kelihatan pelik, jelaskan potensi idea itu dengan lebih jelas. Sama halnya dengan senario Tun Dr. Mahathir Mohamed yang mahu melaksanakan kereta Proton ketika ekonomi tidak menentu. Namun hasilnya? Sangat hebat.

Jangan takut untuk menyuarakan sebarang kebimbangan atau kesukaran, Walau bagaimanapun, anda haruslah mengamalkan komunikasi jenis terbuka iaitu boleh menerima kritikan dan pandangan daripada orang lain. Elakkan sikap tidak boleh ditegur kerana itu akan menyukarkan kerja anda. Apabila anda mengamalkan komunikasi terbuka jelas menunjukkan anda seorang yang bijak.

Sabar
Ketika orang lain menyuarakan pendapat mereka anda perlu bersabar. Dengar dahulu apa yang orang hendak sampaikan. Jangan mencelah dan menolak idea orang lain sebelum mendengarnya sehingga selesai. Semasa berkomunikasi, anda perlu sentiasa memberi mereka masa untuk menyampaikan isu-isu mereka juga. Berikan tumpuan kepada apa yang mereka sampaikan dan ini menunjukkan kepada mereka bahawa anda memang terbuka untuk mengetahui perkara berkaitan mereka. 

Jangan suka memotong percakapan orang lain kerana ia menunjukkan anda kurang sabar dan tidak profesional. Dengar dahulu lontaran idea orang lain kemudian barulah diperbincangkan. Apabila anda mengamalkan cara komunikasi yang berkesan, pasti rakan-rakan akan menjadi lebih senang dengan anda. Ingatlah bahawa kemahiran ini bukanlah boleh diperolehi dalam masa satu hari. Ia memerlukan latihan yang berterusan dan Insha Allah, ia akan berkembang dari semasa ke semasa. 

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen / cadangan anda...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...