
Mahu bergaya atau undang bahaya?
KETIKA
mula diperkenalkan, kanta lekap tidak lebih daripada pengganti kaca
mata. Golongan berkaca mata yang rimas menyarung 'teropong' mereka ini,
boleh beralih kepada kanta lekap untuk mencari kelainan biarpun sukar
melakukannya kali pertama. Seiring perkembangan bidang optometri dan fesyen,
kanta lekap sudah berubah fungsinya. Sekarang, kanta lekap berwarna
makin popular digayakan ramai orang - baik golongan selebriti mahupun
individu yang teringin tampil berbeza.
Kanta lekap kini sudah
dianggap aksesori berbanding fungsi asalnya. Kanta lekap berwarna makin
digemari pelbagai peringkat usia dan mudah didapati pada harga murah.Akibat
permintaan tinggi, ada pihak memandang mudah soal penjualan kanta
lekap. Menurut prosedur betul, penjualan kanta lekap perlu dilakukan
optometris bertauliah yang memeriksa mata pengguna terlebih dulu bagi
menentukan kesesuaian penggunaan kanta lekap.
Namun, berbeza pula
keadaannya sekarang. Kebanyakan pengguna lebih mementingkan produk
murah berbanding aspek keselamatan dalam penggunaan kanta lekap.
Rata-rata mereka tidak merujuk kepada optometris sebelum mendapatkan
kanta lekap. Malah ada yang membeli kanta lekap melalui internet dan
pasar malam.
Bagi individu yang menggunakan kanta lekap tanpa merujuk optometris,
risiko mengalami masalah mata adalah tinggi. Antara masalah yang boleh
dihadapi pengguna kanta lekap ialah jangkitan, alahan hingga lebih
kronik, risiko menjadi buta. Sehubungan itu, individu yang ingin
menggunakan kanta lekap, sama ada untuk pembetulan penglihatan atau
tidak, perlu membuat pemeriksaan mata dengan optometris bertauliah.
Bagi
memberi penjelasan lanjut mengenai pemakaian kanta lekap, kolum Tanya
Pakar menemubual Perunding Optometris, Prof Madya Dr Bariah Mohd Ali
dari Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM).
Kata Prof Bariah, penjualan kanta lekap oleh pihak tidak
bertauliah dalam bidang kesihatan mata cukup membimbangkan. Lebih teruk,
katanya, ada pihak berkongsi kanta lekap dan menyewakannya kepada
individu berbeza tanpa menyedari langkah itu mengundang padah.
Apakah fungsi kanta lekap sama dengan cermin mata?
Seperti
cermin mata, kanta lekap adalah sejenis alat bantuan penglihatan. Cuma,
berbeza dengan cermin mata yang berbingkai dan pemakaiannya boleh
dilihat, kanta lekap pula diperbuat daripada plastik, lebih kecil,
nipis, ringan dan melekap pada mata.
Bukan itu saja, ada juga
kanta lekap yang berwarna. Kebanyakannya bukan hanya digunakan sebagai
alat bantuan penglihatan sebaliknya sebagai kosmetik. Ini bertujuan
menampakkan warna iris yang berbeza daripada asal.
Kanta lekap
juga digunakan untuk tujuan terapeutik (rawatan) bagi sesetengah masalah
mata. Antaranya myopia (rabun jauh), perbezaan tahap ketinggian rabun
antara kedua-dua belah mata yang jauh berbeza (anisometropia) atau
masalah mata silau yang agak serius. Penyakit begini lebih sesuai dirawat dengan penggunaan kanta lekap khusus.
Apakah jenis kanta lekap yang ada di pasaran sekarang?
Secara
ringkasnya, ada dua jenis kanta lekap iaitu kanta lekap lembut dan
keras. Kebanyakan kanta lekap yang ada di pasaran sekarang adalah dari
jenis lembut. Kanta lekap keras turut dipanggil RGP (rigid
gas-permeable) yang diperbuat daripada plastik keras dan lebih tahan
lama.
Kanta lekap jenis ini membenarkan oksigen melalui kanta dan
tempoh hayatnya lebih lama. Cuma, ia tidak sesuai untuk dipakai ketika
melakukan aktiviti fizikal lasak. Kanta lekap lembut pula
kebanyakannya jenis pakai buang, sama ada harian, mingguan atau bulanan.
Kanta lekap begini lebih selesa, boleh mengubah warna mata dan boleh
dipakai ketika melakukan aktiviti fizikal lasak manakala tempoh jam
pemakaiannya lebih lama.
Adakah semua orang sesuai memakai kanta lekap?
Kanta
lekap memang selamat selagi pengguna mendapat nasihat daripada
optometris serta mengamalkan rutin penjagaan yang baik. Bagi yang
mempunyai mata yang sihat, tidak ada masalah bagi mereka menggunakan
kanta lekap.
Dari segi usia juga, tidak ada had usia untuk
seseorang menggunakan kanta lekap. Ini kerana dari segi rawatan
perubatan, ada kes di mana bayi diberikan kanta lekap terapeutik untuk
merawat masalah pada mata mereka.
Namun, bagi sesetengah
individu, misalnya mereka yang mempunyai mata jenis kering, menghidap
sebarang jenis penyakit okular (mata), wanita mengandung atau mereka
yang sedang mengambil ubat-ubatan untuk penyakit yang serius, tidak
sesuai menggunakan kanta lekap. Ini kerana dalam keadaan seperti yang
dinyatakan, mata mereka biasanya lebih sensitif, mudah berlaku edema dan
sebagainya.
Sehubungan itu, pemakaian kanta lekap mungkin boleh
menimbulkan komplikasi kepada mata mereka. Penilaian untuk menentukan
penggunaan kanta lekap perlu dilakukan menggunakan lampu celah
biomikroskop serta pemeriksaan dan nasihat mengenai penjagaan daripada
optometris. Ini penting bagi mendapatkan pemasangan kanta lekap yang
optimum.
Apakah penyebab masalah mata berpunca daripada pemakaian kanta lekap?
Antara
punca yang lazim dilihat ialah amalan penggunaan kanta lekap itu
sendiri. Ada individu menggunakan kanta lekap lebih daripada tempoh yang
sepatutnya termasuk memakainya ketika tidur malam.
Memang dari
segi keadaan fizikal, kanta lekap nampak masih elok tapi dari segi
fungsi dan material, ia mungkin tidak lagi selamat digunakan. Ramai yang
masih menggunakan kanta lekap biarpun tamat tempoh atas alasan tidak
merasai apa-apa perubahan atau masalah.
Mereka seharusnya tahu,
kesan masalah ini tidak dapat dilihat dalam tempoh yang singkat.
Kesannya akan berlaku dalam jangka panjang. Selain pemakaian yang
melebihi tempoh sepatutnya, masalah juga boleh timbul daripada cucian
dan simpanan kanta lekap yang tidak sempurna.
Bekas simpanan
kanta lekap yang kotor juga boleh mengundang jangkitan bakteria. Oleh
itu, bekas kanta lekap mesti dicuci setiap minggu dan diganti
sekurang-kurangnya setiap tiga bulan.
Justeru, bagaimanakah cara penjagaan kanta lekap yang betul?
Paling
utama dalam penggunaan kanta lekap adalah kebersihan. Ini termasuklah
tangan, kuku, bekas simpanan dan apa saja yang terbabit dengan pemakaian
kanta lekap. Kanta perlulah dicuci dengan larutan khusus dan
disimpan dalam larutan yang khusus untuk kanta lekap. Penggunaan ubat
titis mata juga mesti digunakan mengikut keperluan.
Jangan pakai
kanta lekap melebihi tempoh yang sepatutnya dan dari semasa ke semasa,
jumpa optometris untuk melakukan pemeriksaan mata walaupun anda pengguna
kanta lekap yang tidak mempunyai kuasa untuk pembetulan penglihatan.
Bagaimana jika seseorang memakai kanta lekap ketika berenang?
Sebenarnya,
pemakaian kanta lekap ketika berenang tidak digalakkan kerana keadaan
air kolam yang tidak begitu bersih boleh menyebabkan jangkitan.
Sehubungan itu, mereka disaran memakai kanta lekap berserta dengan
gogel.
Jika tidak mahu memakai gogel, mereka boleh memakai kanta
lekap dengan syarat ia perlu ditanggalkan sebaik saja keluar dari kolam.
Kanta lekap berkenaan perlu dicuci manakala mata pula perlu dibiarkan
berehat sebelum memakai kanta semula.
Apakah rawatan yang biasanya diberikan kepada mereka yang mengalami masalah mata akibat penggunaan kanta lekap?
Ini
bergantung kepada masalah yang dihadapi pesakit. Apabila berjumpa
optometris, mereka harus ceritakan masalah mata yang mereka hadapi dan
rutin pemakaian kanta lekap supaya punca boleh dikesan. Bagi kebanyakan kes, pesakit biasanya akan diberikan ubat titis atau diberikan produk kanta lekap yang bersesuaian.
Akhir sekali, apakah nasihat kepada pengguna atau bakal pengguna kanta lekap?
Mata
adalah organ yang penting dalam kehidupan kita. Oleh itu, amat penting
bagi kita untuk memeliharanya dengan baik. Jika anda ingin memakai kanta
lekap, dapatkan maklumat secukupnya terlebih dulu sebelum membelinya.
Pastikan
anda mendapatkan kanta lekap daripada pihak yang bertauliah dan lakukan
pemeriksaan bagi mendapatkan kanta lekap sesuai. Seperkara lagi,
amalkan rutin penjagaan yang betul dan berdisiplin untuk mengelak
komplikasi yang boleh menimbulkan masalah pada penglihatan anda kemudian
hari. Pihak bertanggungjawab juga diharap dapat memantau dan mengawal penjualan kanta lekap oleh pihak tidak bertauliah.
Tips Penjagaan Kanta Lekap
#
Bagi pengguna baru, ada tentu keliru bahagian dalam atau luar kanta
lekap. Perbezaan mungkin tidak ketara tetapi pastikan ia kelihatan
seperti separuh bola. Letakkan kanta lekap pada jari hingga terlihat
bentuk yang dikatakan. Kemudian, bawa kanta dengan bahagian ‘dalam
cawan’ menghadap mata anda. Jika kanta yang dipakai berbentuk U
sempurna, bermakna itulah posisi betul.
Sesetengah kanta lekap
mempunyai tanda laser, misalnya jenama produk. Ini juga boleh membantu
menentukan bahagian dalam atau luar kanta lekap.
# Pastikan anda
membasuh tangan dengan sempurna sebelum memakai kanta lekap. Elak
menggunakan sabun yang terlalu banyak kandungan pewangi, minyak atau
produk yang mengandungi lanolin yang boleh melekat pada permukaan kanta
lekap. Sesetengah doktor menasihatkan supaya memakai kanta lekap yang
sama pada mata sama.
# Sentiasa pastikan anda mencuci tangan
sebelum mengeluarkan kanta lekap. Jika anda berdiri di depan sinki,
pastikan anda menggunakan tisu yang bersih untuk menutup lubang saluran
sinki bagi mengelak kanta lekap terjatuh ke dalamnya.
# Untuk
mengeluarkan kanta lekap, pandang atas atau sisi sambil menarik bahagian
bawah mata. Dengan menggunakan jari, gerakkan kanta lekap secara
perlahan-lahan dan berhati-hati ke bahagian putih mata anda. Dari situ,
kepit kanta lekap perlahan-lahan menggunakan jari telunjuk dan ibu jari
dan keluarkan dari mata.
# Peringatan, jangan sesekali berkongsi kanta lekap. Ini boleh mengundang padah pada mata anda.