1. Buat keputusan
Perkara paling utama adalah membuat keputusan model kereta yang anda hendak beli yang bersesuaian dengan bajet bulanan anda ataupun kemampuan anda. Jika perlu senaraikan beberapa model yang anda rasa bersesuaian dan lakukan sedikit kajian berkenaan dengan kereta tersebut.
2. Kenal pasti harga jualan
Dapatkan harga atas jalan (on the road price) kenderaan tersebut. Ingat, harga solid dan metallic mempunyai harga yang berbeza. Langkah selamat, rujuk laman web rasmi pengeluar kenderaan untuk semak harga atas jalan tersebut.
3. Semak diskaun / rebat
Semak diskaun ataupun rebat jika ada untuk kenderaan yang anda ingin beli, kerana pada bahagian inilah pelanggan selalu ditipu. Dinasihatkan untuk menyemak pada laman web rasmi pengeluar kenderaan dan jangan terpedaya dengan diskaun atau rebat yang luar biasa, selalunya lebih tinggi dari diskaun atau rebat yang diumumkan oleh pengeluar kenderaan.
4. Kira harga bulanan
Minta jurujual kirakan bulanan kereta anda. Untuk pengetahuan, kiraan bulanan tersebut adalah anggaran jurujual sahaja. Tidak ada seorang jurujual pun yang boleh memberikan kiraan bulanan secara tepat kepada pelanggan kerana jumlah bulanan tersebut bergantung pada jumlah pinjaman, tahun pinjaman dan kadar bunga (interest rate) yang ditetapkan oleh bank sahaja. Jadi, sebelum anda tanda tangan pada surat perjanjian jual beli dengan pihak bank, pastikan anda membaca terlebih dulu isi kandungan dan paling penting jumlah bayaran bulanan yang perlu dibayar serta tempoh pinjaman.
5. Hadiah
Pelanggan boleh membuat urusan tawar menawar dengan jurujual dengan membuat tawaran harga yang berpada-pada pada mengikut kemampuan jurujual. Kerana hadiah tersebut adalah daripada komisen jurujual. Pendapatan jurujual adalah berdasarkan komisen, jika pelanggan minta berlebihan, dikhuatiri akan menganiaya jurujual tersebut. Disinilah bermula segala macam penipuan di mana, jurujual akan cuba mendapatkan kembali wangnya yang telah dikikis oleh pelanggan. Kadangkala pelanggan yang telah berjumpa jurujual yang jujur, tetapi akhirnya mengubah jurujual tersebut kepada jurujual penipu kerana desakan pelanggan yang inginkan pelbagai hadiah. Apa yang penting anda mendapat kereta baru anda. Jangan hanya kerana mengejar hadiah yang bernilai RM200 ke RM300 tetapi anda akhirnya akan kehilangan RM3000 ke RM4000. Jadilah pembeli yang bijak.
6. Sediakan dokumen lengkap
Sediakan dokumen untuk membuat pinjaman, berikut adalah senarai dokumen yang diperlukan untuk membuat pinjaman kereta di bank :-
a) Salinan IC
b) Salinan lesen kenderaan
c) Penyata gaji 3 bulan
d) Penyata bank 3 bulan atau 6 bulan {bergantung kepada pihak bank}
e) Penyata KWSP
f) Salinan Pendaftaran Syarikat SSM [jika berniaga]
7. Temuramah bank
Setelah dokumen tersebut telah diserahkan kepada jurujual, jurujual akan membuat permohonan pinjaman di bank bagi pihak anda. Setelah jurujual menyerahkan permohonan kepada pihak bank, pelanggan akan ditemuramah oleh pihak bank. Jika jurujual ada mengajar cara menjawab, maka berilah jawapan berdasarkan apa yang diajar oleh jurujual, kerana cara menjawab juga akan menentukan faktor kelulusan pinjaman.
8. Tanda tangan surat perjanjian
Setelah perjanjian ditandatangani, maka anda boleh menunggu pihak jurujual mendapatkan no chasis untuk anda. Tempoh menunggu bergantung kepada stok kenderaan tersebut. Setelah anda menerima no chasis, anda boleh membuat bayaran wang pendahuluan jika ada. Jangan membuat pembayaran selagi anda tidak menerima no chasis, dan mintalah pada jurujual melalui SMS ataupun Whatsapp kepada anda no chasis sebagai bukti.
9. Setelah pembayaran dibuat, anda boleh menunggu kereta anda didaftarkan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan ianya akan mengambil masa 2 hingga 5 hari untuk mendapatkan geran serta cukai jalan daripada JPJ. Tempoh tersebut adalah bergantung pada situasi.
10. Periksa kereta anda semasa mengambil kereta dan sekiranya anda berpuas hati dengan keadaan kereta, bolehlah anda menuntut hadiah yang telah dijanjikan oleh jurujual. Kemudian tandatangan borang penyerahan kereta dan bawalah pulang kereta baru anda.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...