Tuesday, July 28, 2015

Cara murah keliling dunia



Image result for holiday 

Perancangan bercuti di luar negara selalu berhenti di tengah jalan saja. Mana tidaknya, keinginan melawat destinasi yang sudah lama diimpikan punah begitu saja saat memikirkan kos perbelanjaan yang diperlukan.Tiket kapal terbang, hotel, pengangkutan semasa di destinasi dan banyak lagi yang menjadi isu utama yang sering membuatkan segala perancangan hanya tinggal kenangan.
 
Namun, siapa kata melancong selalunya mahal? Jika bijak diikuti dengan tindakan yang cepat dan pantas, impian anda bercuti ke destinasi idaman pasti menjadi kenyataan. Secara tidak langsung, anda boleh menjimatkan kos percutian dari pelbagai segi termasuklah pengangkutan, bilik hotel, makanan dan sebagainya.

Percutian anda juga lebih tenang dan seronok tanpa berdepan dengan masalah kecil yang boleh merosakkan keseluruhan percutian anda. Jom periksa tip melancong minggu ini. Ia mungkin dapat membantu anda untuk memperoleh percutian yang lebih murah.



Musim cuti

Cuba elak bercuti pada musim cuti krismas, hari raya puasa, tahun baru atau cuti-cuti khusus di destinasi yang dituju.
Ini kerana jika melancong ketika itu, ada kemungkinan semua harga termasuk penerbangan, bilik hotel, makanan dan banyak lagi akan naik mendadak. Namun, bila terpaksa pergi juga, cari maklumat dan beli tiket menerusi Internet, setidak-tidaknya tiga hingga enam bulan sebelumnya dapat menyelamatkan kos percutian anda.

Tentukan pengangkutan
Segera tentukan pengangkutan yang akan digunakan untuk mencapai tempat tujuan. Bila menggunakan pesawat, rajin-rajinlah mencari maklumat di Internet untuk mendapatkan tiket penerbangan yang murah. Pilih syarikat penerbangan yang boleh memberikan harga paling murah, tetapi kualiti layanannya cukup bagus. Lakukan perkara ini sekurang-kurangnya sebulan sebelumnya.

Melalui Internet
Penempahan menerusi Internet biasanya lebih murah daripada agensi pelancongan. Namun penempahan menerusi agensi juga boleh lebih murah dibandingkan bila kita pergi secara langsung tanpa memesan tiket penerbangan dan hotel terlebih dulu. Teliti harga yang ada kerana ia boleh berlipat kali ganda lebih murah.

Tiket murah
Untuk mendapatkan tiket penerbangan murah, manfaatkan agensi pelancongan yang boleh memberikan layanan terbaik. Cari harga yang paling murah pada tarikh dan waktu penerbangan yang anda inginkan kemudian daftarkan nama anda tanpa membeli terlebih dahulu. Jadi, selagi belum bercuti, anda masih boleh memeriksa harga-harga yang ditawarkan. Bila ada yang lebih murah, jangan ragu-ragu untuk menelefon petugas agensi pelancongan yang menguruskan tiket anda dan memintanya untuk mendaftarkan nama anda.

Buat pesanan awal
Memesan tiket penerbangan dan hotel sebelum berangkat untuk bercuti sangat penting meskipun anda hanya bercuti di daerah kecil. Anda pastinya tidak mahu kedamaian percutian anda rosak bahkan batal hanya kerana apabila sampai di destinasi, semua hotel yang bagus penuh atau bilik yang tersedia sangat mahal, bukan? Justeru, membuat tempahan awal adalah sangat digalakkan untuk anda yang sedang merancang percutian yang hebat.

Rajin melayari Internet
Melalui Internet biasanya hotel-hotel terkenal memberikan harga jauh lebih murah berbanding menempah bilik terus di hotel. Kini banyak laman web yang menyediakan pelbagai promosi bilik yang boleh anda layari untuk mendapatkan harga bilik yang cukup murah selain melawati laman web hotel itu sendiri. Justeru, jangan lepaskan peluang yang ada. Tidak rugi menghabiskan masa melayari Internet mencari bilik penginapan jika boleh memperoleh bilik hotel dengan harga yang cukup murah.

Periksa kemudahan
Jangan pula terlalu gembira memperoleh harga bilik yang sangat murah dan terus bersetuju sebelum melihat segala kemudahan yang disediakan hotel itu. Ada baiknya anda mengetahui segala kemudahan hotel yang akan dipilih bila memesan menerusi Internet supaya anda tidak menyesal.

Manfaatkan teman
Memiliki teman atau saudara yang tinggal di kota destinasi terutama bila tujuan bercuti di luar negara boleh dimanfaatkan sebagai tempat menginap. Bukan itu saja, anda juga mungkin boleh menjimatkan kos belanja makan saat menginap dengan teman atau saudara dengan memasak. Selain itu, anda juga boleh menginap di rumah tetamu milik kedutaan di destinasi yang dituju.

Artikel dipetik dari penulis my Metro Suliati Asri pada 28 Oktober 2013

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen / cadangan anda...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...