Tip bekerja dalam pasukan


Kerja dalam pasukan memang tidak dapat dielakkan terutamanya bagi pelajar dan juga yang telah bekerja. Tidak dinafikan ia disebabkan kerenah dan percanggahan pendapat individu menjadikan segelintir saja yang gemar bekerja dalam pasukan. 

Namun tidak mustahil segalanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang perbalahan jika setiap individu dalam pasukan tahu tanggungjawab masing-masing. Mungkin tip yang akan dikongsi ini boleh membantu anda menjadi rakan sepasukan yang baik.

Kenali rakan sepasukan - Kenali dulu latar belakang atau perihal rakan sepasukan anda yang lain. Ini amat penting bagi membolehkan anda berkomunikasi dengan baik ketika bekerjasama. Walau ia kelihatan remeh, namun ia membantu anda memahami serba sedikit karakter dan sikapnya semasa bekerja. Ia memudahkan lagi proses kerja anda dan boleh dihantar mengikut tarikh yang ditetapkan.

Cari persamaan ahli kumpulan - Cari apa saja yang menjadi persamaan antara anda dengan rakan-rakan sepasukan, contohnya dari segi hobi, makanan kegemaran, artis kegemaran dan sebagainya. Cara ini secara tidak langsung mampu melancarkan tugas-tugas dan mewujudkan suasana gembira bekerja dalam pasukan.

Jangan curi idea orang lain - Meskipun pandangan rakan sepasukan anda tidak mempunyai isi penting, namun ianya tidak wajar untuk menentang atau mencuri idea yang diluahkannya. Sememangnya tidak manis bagi seseorang memotong cakap orang lain dengan nada keras atau dengan nada yang tinggi. Cara ini akan membuatkan orang lain tidak menghormati idea yang dilontarkan anda dan berasa kurang selesa  untuk bekerja dalam pasukan dengan anda.

Kawal emosi - Tekanan kerja tidak kira sama ada di tempat kerja mahupun kolej atau universiti boleh menyebabkan punca tekanan atau kepenatan sehingga menyebabkan masalah lain pula yang timbul. Oleh itu, anda disarankan mengambil masa seketika untuk berehat apabila fikiran anda buntu, dengan cara kosongkan sebentar fikiran daripada memikirkan perkara yang berkaitan dengan kerja dan apabila anda berasa lega, barulah anda boleh sambung untuk buat kerja anda.

Tulis dan dokumentasikan - Jangan sesekali melanggar peraturan ini jika anda dipilih sebagai ketua. Anda perlu biasakan untuk selalu mencatat tanggungjawab setiap ahli pasukan dan edarkan kepada setiap ahli pasukan. Aturkan jadual mesyuarat menerusi rangkaian media sosial seperti e-mel dan edarkan kepada setiap ahli pasukan. Jika anda mempunyai maklumat terkini sebelum mengadakan mesyuarat yang diperoleh daripada salah seorang ahli pasukan, segera sebarkan melalui e-mel ataupun melalui WhatsApp pada semua ahli supaya mereka tidak ketinggalan untuk mendapatkan informasi terkini daripada anda. Mungkin ahli pasukan yang lain turut mempunyai idea atau informasi yang lebih menarik untuk dikongsi bersama.

Tawarkan pilihan penyelesaian - Semasa berdepan dengan masalah dalam mencari idea, ajaklah ahli pasukan untuk sama-sama berfikir. Gunakan pilihan kalimat pertanyaan seperti contoh,

"Pada pendapat saya cara inilah yang tepat, jadi bagaimana pula dengan pendapat awak semua?"

Cara pertanyaan sebegini mampu memberi jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi ahli pasukan anda.

Tuesday, December 8, 2020

Tip pemakanan untuk remaja



 Makanan ringan tidak bagus untuk badan - Ramai remaja yang makan makanan ringan pada hampir setiap hari. Ini termasuklah air berkarbonat dan snek ringan seperti cip kentang. Berbanding makanan dimasak di rumah, makanan ringan ternyata mempunyai lebih kolesterol serta kandungan gula dan garam yang amat tinggi. Jadi tidak mustahil pada peringkat umur yang begitu muda, anda mungkin menghidap penyakit yang berbahaya seperti tekanan darah tinggi, jantung tersumbat, diabetes dan sebagainya akibat pengambilan makanan ringan secara berlebihan.

Ubahcara pemakanan - Jika sebelum ini anda sering minum air berkarbonat, cuba tukar diet kepada air yang tidak mengandungi kandungan gula yang tinggi. Jangan lupa untuk mengambil sarapan pada setiap pagi dan tidak beli makanan ringan secara berlebihan. Andai kata anda seorang yang gemar berada di dapur, elakkan daripada meletakkan garam yang begitu banyak di dalam masakan.

Tukar persepsi terhadap makanan - Jangan sesekali memilih makanan kerana ia lazat dan enak, sebaliknya pilihlah makanan yang berkhasiat dan bagus untuk kesihatan. Contohnya, anda rasakan cip kentang sangat enak dan boleh dibawa ke mana saja tapi menurut kajian saintifik membuktikan bahawa makanan itu tidak baik untuk kesihatan. Oleh itu, fikirkan kembali bahawa makanan seperti susu, keju dan ayam adalah jauh lebih berkhasiat serta menjadikan anda lebih sihat.

Ubah suasana tempat makan - Pilihlah tempat makan yang mengandungi pelbagai makanan yang berkhasiat. Jika anda gemar membeli snek di kedai, cuba tukar selera anada kepada roti pula. Jangan segan untuk bercakap dengan pihak kantin sekolah bagi mencadangkan makanan yang berkhasiat dan rendah lemak. Selepas ini, anda tidak perlu pergi ke kedai makan yang mahal, sebaliknya hanya makan di kantin sekolah saja.

Sentiasa motivasi diri - Ingat bahawa setiap remaja yang gemar makan snek mengalami peningkatan berat badan yang lebih berbanding mereka yang jarang makan snek. Diet mengandungi makanan berkhasiat diselang dengan snek dapat meningkatkan kadar pengambilan nutrien seperti kalsium yang amat penting dalam pembentukan tulang yang kuat. Makan secara seimbang tidak bermakna anda perlu mengabaikan snek, tapi jadikan pengambilan snek itu secara berkala.

Tuesday, November 24, 2020

Cergas minda dan elak kemurungan dengan minum kopi


Kopi berasal daripada jenis tanaman yang dikenali dengan nama Coffea. Dalam industri kopi komersial, terdapat dua jenis biji kopi yang penting iaitu Arabica dan Robusta.


Kebaikan kopi untuk kesihatan dan kecantikan memang banyak. Untuk mendapatkan khasiatnya semaksimum mungkin adalah dengan minum kopi tanpa sebarang tambahan gula atau susu.


Berikut adalah kebaikan kopi.


Meningkatkan tahap tenaga - Kopi dikatakan mampu membantu si peminum rasa kurang letih dan meningkatkan tahap tenaga. Ini adalah kerana ia mengandungi perangsang yang dikenali sebagai kafein. Selepas anda minum kopi, kafein itu akan diserap masuk ke dalam aliran darah dan seterusnya otak. Kafein akan menghalang penghambat pemancar saraf dalam otak yang menyebabkan kesan peransang. Kaedah ini memperbaiki tahap tenaga, mood dan pelbagai aspek fungsi otak.


Bantu bakar lemak - Kafein ditemui dalam hampir semua suplemen pembakar lemak yang dijual secara komersial. Ini kerana kafein antara salah satu bahan asli yang dikatakan mampu membantu dalam pembakaran lemak. Terdapat pelbagai kajian yang telah menunjukkan kafein mampu meningkatkan pembakaran lemak dan merangsang kadar metabolik.


Menjaga kesihatan mulut - Kopi dikatakan memiliki sifat antibakteria yang baik bagi kesihatan mulut. Hal ini dikatakan mampu membantu penyembuhan gigi berlubang, plak dan jangkitan gusi.


Mengurangkan risiko diabetes tahap 2 - Perlu diingat, bagi mendapatkan khasiat ini anda perlu minum kopi tanpa sebarang pemanis atau gula mahupun susu. Terdapat beberapa kajian yang telah menunjukkan bahawa peminum kopi memiliki risiko rendah untuk mendapat diabetes tahap 2. Ini kerana kandungan zat asid klorogenat dikatakan membantu prestasi penghambatan penyerapan gula pada peningkatan pembentukan insulin.


Melindungi daripada penyakit Alzheimer dan Demensia - Alzheimer merupakan salah satu penyakit yang mampu menyerang mereka yang berusia 65 tahun ke atas. Kopi dikatakan telah diuji mampu meningkatkan perlindungan terhadap meningkatkan perlindungan terhadap penyakit yang berhubungan dengan kemerosotan fungsi saraf.


Menentang kemurungan - Kemurungan adalah penyakit mental yang serius menyebabkan kualiti hidup terjejas. Dalam kajian yang telah dilakukan di Harvard pada tahun 2011 mendapati wanita yang minum empat cawan atau lebih banyak kopi dalam sehari memiliki 20 peratus risiko rendah menjadi murung.


Sumber antioksidan terbanyak dalam diet Barat - Dikatakan mereka yang mengamalkan pemakanan diet barat atau western diet, kopi antara salah satu aspek menyihatkan dalam diet itu. Ini kerana kopi mengandungi sejumlah antioksidan tinggi. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa mereka yang mendapat lebih banyak antioksidan daripada kopi jika dibandingkan dengan buah-buahan dan sayuran digabungkan.


Kopi untuk masker wajah - Manfaat biji kopi banyak digunakan untuk pembuatan masker wajah pada salon-salon kecantikan. Kegunaannya menjadikan kulit tegang dan membuang sel kulit mati. Biji kopi juga dikatakan dapat digunakan sebagai krim antimikrob untuk pembersih wajah.


Tip pengambilan kopi


Berikut adalah tip dalam pengambilan kopi :

  • Minum maksimum dua gelas dalam satu hari.
  • Elakkan minum pada waktu malam. Jika boleh minum tidak lebih daripada pukul 4 petang.
  • Jangan minum kopi dengan gula berlebihan.
  • Jika boleh, minum kopi tidak kurang daripada tiga jam ianya dibuat.

*sumber daripada Majalah Mingguan Wanita | Vol.2 Januari 2019

Tuesday, October 27, 2020

Sipnosis Buku : Pembangunan Budaya Keselamatan Di Tempat Kerja

Sipnosis Buku : Pembangunan Budaya Keselamatan Di Tempat Kerja

Pengarang : Mohd Saidin Misnan, Abdul Hakim Mohammed, Abdul Rahman Dalib
Penerbit : Penerbit UTM Press, Universiti Teknologi Malaysia
ISBN : 978-983-52-0800-3

Sipnosis : 
Industri pembinaan sering dikritik kerana kurang mengambil berat dalam aspek keselamatan dan kesihatan. Sektor pembinaan adalah dikenali antara industri yang mencatatkan kadar kemalangan yang tinggi berbanding industri lain kerana sering dikaitkan dengan fenomena 3-D iaitu 'Dirty, Difficult and Dangerous' (Kotor, Sukar dan Merbahaya).

Keselamatan dalam industri pembinaan ialah suatu bidang yang signifikan kerana sektor ini menyebabkan banyak peluang pekerjaan dan ia juga menyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan yang melibatkan kemalangan maut. Kerja dalam industri ini dianggap merbahaya kerana ia mungkin sering kali melibatkan pekerjaan di tempat tinggi yang menggunakan perancah, lorong laluan, tangga, bumbung, kerja pengorekan yang melibatkan letupan, jentera kerja tanah dan penggunaan jentera pengangkat seperti kren dan pangangkat (hoist). 

Justeru, budaya keselamatan di tempat kerja merupakan satu elemen penting yang berupaya untuk mencegah daripada berlakunya kemalangan yang menjurus kepada hubungan antara manusia, kesihatan, keselamatan dan kemalangan serta persekitaran. Selain itu, budaya keselamatan juga merupakan satu elemen yang penting dalam keseluruhan aktiviti sesebuah organisasi.

Ini adalah kerana budaya keselamatan berupaya mencegah daripada berlakunya sesuatu kemalangan. Kesedaran mengenai budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan seharusnya menjadi agenda yang harus diberikan penekanan oleh semua pihak.

Sipnosis Buku : Sibuk? Ataupun Penyibuk?

Sipnosis Buku : Sibuk? Ataupun Penyibuk?

Pengarang : Ahmad Fadzli Yusof
Penerbit : PTS Millennia Sdn Bhd
ISBN : 978-983-3372-91-1 / 983-3372-91-0

Sipnosis :
Apabila kita sentiasa berkata kita tidak ada masa, maka sampai bila pun kita tidak akan ada masa. Betul ataupun tidak? Semuanya terpulang kepada diri kita sendiri. Tindakan yang positif bagi menggunakan masa dengan bijak sudah tentu membawa hasil yang positif. Jadi, bagaimanakah caranya menggunakan masa dengan efektif? 

Ada beberapa cara dan di antaranya adalah :

  • Merancang masa dengan baik
  • Menentukan prioriti
  • Tidak bertangguh
Ingin tahu dengan lebih lanjut? Jawapannya ada di dalam buku ini. 

Sipnosis Buku : Niaga Online

Sipnosis Buku : Niaga Online

Pengarang : Saliyati Suhaimi
Penerbit : Alaf 21 Sdn Bhd
ISBN : 978-983-124-485-2

Sipnosis : 
Ledakan teknologi maklumat telah membawa satu fenomena baru yang melanda masyarakat dunia iaitu berniaga di internet. Melihat kepada kejayaan individu-individu yang berjaya meraih pendapatan lumayan dan mencapai status jutawan internet, maka ramai yang memasang angan-angan untuk berjaya seperti mereka.

Namun, banyak juga impian yang tinggal angan-angan kerana kekurangan maklumat yang berkaitan dengan cara untuk berniaga di internet.

Menariknya buku ini, pembaca akan diajar secara langkah demi langkah untuk membuat perniagaan di internet. Usah khuatir atau beranggapan bahawa buku ini hanya sesuai untuk dibaca oleh mereka yang memang berpengetahuan dalam bidang IT sahaja. Yang pasti, buku ini sesuai untuk dibaca oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira umur, bangsa ataupun agama. 

Sipnosis Buku : Dahsyatnya Cabaran Di Pejabat

Sipnosis Buku : Dahsyatnya Cabaran Di Pejabat

Pengarang : Roland Tan
Penerbit : PTS Professional Publishing Sdn Bhd
ISBN : 978-967-369-133-3

Sipnosis : 
Cabaran di tempat kerja lebih dahsyat daripada cabaran binatang buas di dalam hutan. Kalau dibaham harimau, yang paling teruk, kita terus mati. Kalau dibelenggu masalah di pejabat, jiwa merana, fikiran terganggu dan jasad menjadi lemah. Pekerja biasa, eksekutif dan orang atasan tidak terkecuali mengalaminya. 

Jangan biarkan msalah ini menyelubungi kehidupan kita. Buku ini membantu kita menyelesaikan msalah dan mengurus konflik dengan berkesan. Dengan buku ini, kita dapat :

  • Bekerja dengan tenang
  • Mencapai kepuasan bekerja
  • Menyerlahkan bakat kepimpinan dan pengurusan
  • Menukar kesempitan kepada kesempatan menimba pengalaman berharga
  • Menukar cabaran menjadi peluang terbaik mengoptimumkan potensi hebat dalam diri
"Kita berhadapan dengan peluang yang hebat dalam bentuk masalah yang membuntukan" - Lee lacocca

Sipnosis Buku : Menjadi Pemimpin Super

Sipnosis Buku : Menjadi Pemimpin Super

Pengarang : Farid Poniman, Indrawan Nugroho, Jamil Azzaini
Penerbit :   PTS Professional Publishing Sdn Bhd
ISBN : 978-967-369-018-3

Sipnosis :
Rahsia MENJADI PEMIMPIN SUPER diselidiki dengan mendalam melalui prinsip KUBIK LEADERSHIP bagi memastikan kita mampu menggunakannya demi mencapai kehidupan yang lebih baik. Hal ini kerana dunia sekarang masih belum mampu menyelesaikan pelbagai masalah yang kita hadapi. Ibarat ubat bius yang diberikan, ia hanya dapat menghilangkan kesakitan buat sementara waktu sahaja. Buku ini menawarkan penyelesaian yang lebih mudah dan menyasarkan terus kepada akar permasalahan serta menyembuhkan penyakitnya.

KUBIK LEADERSHIP berkongsi rahsia alam dan kehidupan dalam bentuk rumusan yang mudah. Apabila kita mempraktikkannya langkah demi langkah, kejayaan dan kecemerlangan hidup dapat dimiliki! Prinsip ini juga memberi pencerahan baru dengan :

  • Menerangkan tugas kita sebagai GARDU EPOS
  • Prinsip To Be, To Have dan Valensi dalam diri kita
  • Menggabungkan Prinsip Tuhan, Prinsip Alam dan Prinsip Manusia

Sipnosis Buku : Pengurusan Sumber Manusia Berdaya Saing

Sipnosis Buku : Pengurusan Sumber Manusia Berdaya Saing

Pengarang : Zafir Mohd Makhbul 
Penerbit : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia
ISBN : 978-967-412-044-3

Sipnosis :
Pengurusan sumber manusia sesebuah organisasi merupakan perkara penting yang akan memastikan matlamat organisasi tercapai. Pelbagai pendekatan telah digunakan oleh organisasi untuk menjadikan sumber manusia organisasi terus berdaya saing dan berani menghadapi cabaran persaingan. 

Fenomena perubahan persaingan, penstrukturan semula, pengecilan saiz perniagaan dan seumpamanya telah memberikan bnayak tekanan bukan sahaja kepada organisasi malah kepada sumber manusia. Sumber manusia yang tidak diberikan latihan dan pembangunan yang mencukupi akan berasa bimbang dan takut menerima perubahan ini. Kesemua ini akan memberi kesan ke atas motivasi dan kesetiaan pekerja. Justeru, organisasi yang telah mengamalkan sistem tradisional dalam pengurusan sumber manusia perlu melakukan pengubahsuaian selari dengan perubahan yang berlaku dalam persekitaran. 

Terdapat amalan tradisional yang masih relevan masa kini, namun ianya perlu disesuaikan dengan situasi semasa. Melalui pengurusan sumber manusia strategik, organisasi akan memastikan ia sentiasa berdaya saing dan sumber manusianya bersedia menghadapi perubahan. Kelestarian ini akan dapat dicapai jika pengurus sumber manusia mempunyai tiga set kemahiran iaitu :

  • Pengetahuan teknikal dan profesional
  • Kemahiran dalam semua fungsi pengurusan sumber manusia
  • Bijak mengurus perubahan
 Kejayaan mengurus sumber manusia amat bergantung kepada kecekapan dan kebijaksanaan pemimpin organisasi atau pengamalnya. Mereka memerlukan pengetahuan yang luas dan terkini dalam setiap fungsi pengurusan sumber manusia. Melalui pelaksanaan fungsi tersebut dengan cekap dan berkesan, akan melahirkan sumber manusia yang berkualiti dan memberikan imej yang baik kepada pihak dalaman dan luaran organisasi. 

Sipnosis Buku : Undang-Undang Dan Pengurusan Mesyuarat

Sipnosis Buku : Undang-Undang Dan Pengurusan Mesyuarat

Pengarang : Abdul Aziz Hussin
Penerbit : Penerbit Universiti Sains Malaysia
ISBN : 978-983-861-394-1


Sipnosis : 
Buku ini membincangkan aspek mesyuarat daripada dua perspektif penting, iaitu undang-undang dan pengurusan dengan menekankan amalan pengurusan yang baik dan praktis undang-undang yang wajar. 

Aspek utama yang diketengahkan merangkumi perkara-perkara am berkaitan mesyuarat termasuk takrif dan kepentingan mesyuarat, hak-hak keadilan asasi dalam urusan mesyuarat, undang-undang jenayah, ahli-ahli mesyuarat, panggilan mesyuarat, prosedur-prosedur mesyuarat, penangguhan mesyuarat, pengurusan minit mesyuarat dan tindakan susulan yang perlu diambil selepas mesyuarat.

Beberapa mesyuarat yang wujud di Malaysia turut dibincangkan sebagai kajian perbandingan dan rujukan, serta aplikasi aspek undang-undang dan pengurusan mesyuarat. Buku ini sesuai untuk para pelajar yang mengambil kursus pengurusan pejabat, para profesional berkaitan, pentadbir atau pengurus sesebuah organisasi (swasta atau kerajaan) serta setiausaha atau urus setia mesyuarat itu sendiri. Selain itu, buku ini juga sesuai dibaca oleh semua pihak yang tugas mereka ada hubung kait dengan mesyuarat.