Satu peristiwa penting bulan Zulhijjah yang sering kita
terlupa ialah bahawa Rasulullah S.A.W telah menyampaikan amanat terakhir kepada
umat Islam. Khutbah terakhir ini disampaikan baginda pada 9 Zulhijjah Tahun Ke
10 Hijrah Di Lembah Uranah,Arafah. Justeru,
marilah kita renungi khutbah tersebut yang merupakan khutbah terakhir
Rasulullah S.A.W.
"Wahai
manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui
apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu selepas ini. Oleh itu dengarlah
dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikan ia kepada orang-orang yang tidak
dapat hadir di sini pada hari ini.
Wahai manusia, seperti mana kamu
menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta
setiap orang muslim sebagai amanah suci. Kembalikan
harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.
Janganlah
kamu menyakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah
bahawa sesungguhnya kamu akan menemui tuhan kamu dan dia pasti membuat
perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu
segala urusan yang melibatkan riba adalah dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah
terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk
menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu
tidak mengikutnya kepada perkara-perkara kecil.
Wahai
mausia, sebagaimana kamu mempunyai hak terhadap isteri kamu mereka juga
mempunyai hak terhadap kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka terhadap
kamu maka mereka juga berhak diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih
sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, beremah lembutlah terhadap
mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan
hak kamu terhadap mereka ialah mereka sama sekali tidak memasukkan orang yang
kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai
manusia, dengarlah kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima
kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan dan tunaikanlah zakat dari harta
kekayaan kamu. Kerjakanlah ‘ibadah haji' sekiranya kamu mampu. Ketahuilah
bahawa setiap muslimin adalah saudara kepada muslimin yang lain. Kamu semua
adalah sama,tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lain kecuali taqwa dan
beramal soleh.
Ingatlah
bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk
dipertanggungjawabkan terhadap segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah
agar jangan sekali-kali kamu terkeluar daripada landasan kebenaran selepas
ketiadaanku. Wahai manusia, tidak ada lagi nabi atau rasul yang akan datang
selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah
dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya
aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh
kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran
dan Sunnahku.
Hendaklah
orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga
yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar
dariku. Saksikanlah Ya Allah,bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu kepada
hamba-hamba-Mu".
Disediakan oleh
Bahagian Dakwah,
Jabatan Agama Islam Selangor
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen / cadangan anda...